Reaksi Perlanggaran LRT Kelana Jaya 2021

Kenyataan awal daripada pegawai daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah menyatakan bahawa kemalangan tersebut berkemungkinan berpunca daripada masalah komunikasi dari pusat pengendalian.[3]

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan kemalangan tersebut merupakan kemalangan yang pertama dalam 23 tahun pengendalian sistem tersebut.[3] Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Prasarana Malaysia turut akan membincangkan jumlah insurans yang akan diberikan kepada mangsa kemalangan.[7] Pengerusi Prasarana Malaysia, Dato' Sri Tajuddin Abdul Rahman pula mengatakan bahawa Prasarana Malaysia akan memberikan bantuan khas RM1,000 setiap seorang kepada 213 orang mangsa kemalangan di Laluan Kelana Jaya. Pada sidang media yang diadakan pada keesokan harinya, beliau selanjutnya menyatakan bahawa Prasarana akan menanggung perbelanjaan perubatan semua mangsa sehingga mereka didiscaj.[8]

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan kesemua penumpang yang tercedera dalam kemalangan tren tersebut di Laluan LRT Kelana Jaya pada malam itu dirawat terlebih dahulu.[9]

Kritikan terhadap reaksi

Pelbagai pihak menyuarakan kritikan terhadap respons bagi perlanggaran ini, terutamanya kepada ketua syarikat Prasarana serta Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman. Pada awalnya, Tajuddin dikritik kerana tidak turun padang pada momen kejadian itu. Tajuddin menjelaskan bahawa dirinya sedang berada dalam pertemuan bersama dengan pihak sebuah syarikat pada masa itu serta bersiap sedia untuk memperoleh dos kedua vaksin COVID-19-nya yang dijadualkan pada keesokan hari, dan lewat menerima berita tentang kejadian itu.[10] Seterusnya, sidang medianya pada pagi 25 Mei menambahkan lagi kutukan terhadapnya kerana tidak memperlihatkan keseriusan terhadap kemalangan itu. Sidang itu dicemari dengan jenaka tidak wajar terhadap kemalangan,[11] komen berbaur rasis anti-Cina oleh Tajuddin dan perbuatannya yang tidak memakai pelitup muka (sebaliknya memakai pelindung muka lutsinar) dalam situasi pandemik COVID-19 negara sehingga dijadikan kes oleh pihak polis.[12][13][14]

Masalah ini mendorong tekanan oleh pelbagai lapisan masyarakat agar Tajuddin segera meletak jawatan sebagai ketua eksekutif Prasarana, tetapi Tajuddin menyatakan hasrat untuk kekal dengan jawatan itu.[11][15] Bekas Presiden UMNO Najib Razak pula berkata bahawa Tajuddin mengakui kesilapannya dalam sidang media itu, dan berkata bahawa Tajuddin bakal meletak jawatannya pada tarikh yang akan ditentukan oleh pihak UMNO.[16] Menjelang hujung hari itu, Tajuddin disahkan dipecat daripada jawatan itu oleh badan kerajaan pengawal Prasarana (Kementerian Kewangan) susulan isu ini.[2]

Selain itu, kecaman turut dituju kepada jumlah pampasan terhadap mangsa terlibat yang disifatkan terlalu sedikit dan "menghinakan".[11]

Rujukan

WikiPedia: Perlanggaran LRT Kelana Jaya 2021 https://www.astroawani.com/berita-malaysia/47-para... https://www.bernama.com/en/news.php?id=1964792#:~:... https://www.bernama.com/en/news.php?id=1964794 https://www.channelnewsasia.com/news/asia/2-lrt-tr... https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/... https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/05/25... https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/05/25... https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/05/26... https://www.malaymail.com/news/malaysia/2021/05/26... https://malaysiadateline.com/47-mangsa-cedera-para...